Sunday, March 3, 2013

Laporan Minggu Mesra FTSM 25-28 Februari 2013

Pada 25-28 Februari yang lepas, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat telah menganjurkan Minggu Mesra FTSM (MMFTSM). Terdapat 8 program utama yang berlangsung sepanjang minggu tersebut, antaranya ialah pertandingan video inovasi, pertandingan multimedia kreatif, aktiviti ukhwah mentor mentee, aktiviti karnival dan khidmat masyarakat, pertandingan cabaran pengaturcaraan, piala dekan ke 3, bengkel aplikasi google dan blog dan juga seminar teknologi dan kerjaya komputer. Di dalam setiap program pula terdapat pecahan aktiviti antaranya ialah bengkel video, bengkel animasi dan juga ceramah.

Saya terlibat dengan aktiviti karnival dan khidmat masyarakat selaku MT selain bertindak penyelaras montaj untuk MMFTSM. Sepanjang saya bertugas di dalam program ini, banyak pengalaman yang telah saya kutip dan perolehi. Di bawah program aktiviti karnival dan khidmat masyarakat, saya bertanggungjawab mengetuai exco aktiviti pameran dan juga exco publisiti. Untuk bahagian publisiti kami tidak mempunyai sebarang masalah berkenaan penghasilan poster, banner dan sebagainya kerana kami hanya perlu mengikut arahan secara terus dari pihak atasan MMFTSM. Berlainan pula dengan aktiviti pameran, di mana kami perlu mengurus dan mengusahakan sendiri berkenaan aktiviti yang sesuai untuk pameran.

Pada permulaan perancangan, kami merancang untuk mengadakan pertandingan customize pc sebagai salah satu aktiviti yang berteras it, namun ianya gagal dianjurkan kerana kesukaran mendapatkan peserta. Hebahan mengenai pertandingan ini telah dibuat melalui forum-forum internet dan sebaran-sebaran di facebook. Antara punca yang menyebabkan sukarnya mendapatkan peserta adalah kerana hadiah yang ditawarkan tidak berpadanan dengan kos untuk penghasilan pc custom. Kami mendapat maklum balas ini daripada forumer-forumer di bebenang forum yang kami promosikan. Sebilangan besar forumer hanya memperkecilkan usaha kami untuk menganjurkan pertandingan ini hanya kerana hadiah yang ditawarkan adalah sekitar ratusan ringgit. Sememangnya benar kos untuk penghasilan sebuah pc custom kebanyakannya mencecah puluhan ribu ringgit, namun kami berpendapat pertandingan yang ingin dianjurkan ini sebenarnya lebih kepada pameran untuk pengunjung dan berpadanan pula dengan jumlah peserta yang kami sasarkan hanya sekitar 10 orang. Tetapi apakan daya, ianya tetap gagal memenangi hati bakal peserta yang telah kami risik dan ini menjadi punca pertandingan ini dibatalkan penganjurannya.

Selain dari itu, faktor kerjasama antara ahli kumpulan turut mempengaruhi kegagalan program ini. Perancangan mengenai program hanya bermula sekitar 2 bulan sebelum program berlangsung, tambahan pula waktu cuti semester menyukarkan komunikasi antara ahli dalam menyampaikan arahan dan maklumat antara satu sama lain. Sekalipun boleh berhubung melalui facebook ataupun telefon, namun tahap kesedaran ahli terhadap tugas masing-masing adalah berbeza bagi setiap ahli. Ada yang terlibat dengan program hanya sekadar untuk memenuhkan LC dan bukannya atas dasar tanggungjawab. Oleh yang demikian tidak hairanlah komitmen yang diharapkan hanya pada kadar suam-suam kuku. Begitu juga sekiranya situasi ini ingin dikaitkan dengan pengurusan projek multimedia, komitmen setiap ahli kumpulan projek perlulah selaras iaitu masing-masing perlu memberi kerjasama dalam setiap hal. Kerjasama dan komitmen oleh setiap ahli sangat penting bagi memastikan kelancaran projek. Penghasilan projek multimedia memerlukan perancangan yang sistematik dan teratur, oleh itu setiap tindakan dan gerak kerja setiap ahli perlu selaras dan mencapai pada tahap dan waktu yang telah ditetapkan. Ini kerana terdapat situasi dimana sekiranya kerja A gagal disiapkan pada waktu yang ditetapkan, kerja B pula tidak akan dapat diteruskan kerana berkait dengan kerja A.

Ketika minggu mesra FTSM berlangsung pada beberapa hari lepas, saya terlibat dengan aktiviti bersama anak yatim. Program aktiviti anak yatim ini melibatkan anak-anak yatim dari 3 buah rumah yang berasingan. Saya bertindak sebagai jurugambar selain turut menguruskan adik-adik dengan aktiviti yang dirancang kepada mereka. Tidak semua program yang dirancang pada awalnya mampu dilaksanakan pada hari kejadian. Sebagai contoh, kami ada merancang untuk mengadakan sesi ceramah pendedahan kepada it pada adik-adik tersebut tetapi terpaksa menggantikannya dengan program lain, kerana ketidaksesuain topik tersebut dengan usia mereka yang kebanyakannya masih kecil dan nakal. Saya berpendapat hal ini mungkin boleh dikaitkan dengan bagaimana seseorang pembina aplikasi multimedia perlu memastikan sasaran pengguna adalah bersesuaian dengan aplikasi yang dibangunkan. Faktor umur, tahap pendidikan dan juga demografi pengguna perlu dipastikan bersesuaian dengan persembahan multimedia aplikasi tersebut. Ini bagi mengelakkan aplikasi tersebut tidak dapat diterima, gagal mendapat tempat di hati pengguna.

Saya rasa tugas paling menarik yang diamanahkan kepada saya sepanjang program MMFTSM berlangsung ialah ketika dipertanggungjawabkan selaku ketua penyelaras montaj perasmian. Saya mendapatkan arahan dari Dr. Tengku untuk menghasilkan montaj sekitar sebulan yang lepas. Makluman mengenai tugasan ini telah saya peroleh dari seorang sahabat melalui sms kerana pada ketika itu saya telah pulang ke kampung untuk bercuti. Saya menerima tugasan itu dengan hati yang terbuka kerana saya kira ianya adalah tugas yang mudah kerana saya hanya perlu menyelaraskan montaj-montaj yang dihantar oleh setiap LC kepada saya. Pada awalnya memang saya fikir semudah itu, tetapi apabila tiba masa saya terima montaj-montaj dari setiap LC, hasil yang saya dapat dari mereka tidaklah seperti yang saya harapkan. Selain dari itu, ada dikalangan mereka yang gagal menghantar pada waktu yang telah ditetapkan. Hal ini menyebabkan kerja yang patut saya sudahkan pada tempoh itu tertangguh sehingga bermula perkampungan dan melebihi tempoh dateline yang ditetapkan pada awalnya.

Saya menghadapi kesukaran untuk menyeragamkan montaj dari setiap LC kerana mereka menggunakan perisian yang berlainan selain idea penyampaian yang berlainan antara satu sama lain. Setelah percubaan untuk menyelaraskan setiap montaj gagal saya lakukan, saya mengambil inisiatif sendiri untuk membuat semula keseluruhan montaj menggunakan idea saya sendiri. Dalam tempoh masa yang ada saya berusaha dan belajar sendiri cara untuk menggunakan perisian Adobe After Effect. Sebelum ini saya cuma tahu menggunakan perisian tersebut dengan menggunakan template-template yang di muat turun dari internet, tapi pada kali ini saya mengambil jalan untuk membangunkannya sendiri dari awal. Saya kira kesedaran untuk menguasai perisian popular seperti After Effect ini bermula ketika saya menyertai pertandingan PROMED CS’12 pada tahun lepas. Sungguh pun saya dan kawan-kawan gagal mendapat tempat dalam pertandingan tersebut, tetapi pendedahan terhadap pertandingan ini telah memberikan saya pengalaman dan kesedaran mengenai keperluan pelajar multimedia untuk menguasai perisian-perisian yang banyak digunakan di lapangan multimedia. Bertitik tolak dari situ, maka alhamdulillah dapat juga saya siapkan montaj untuk MMFTSM, sekalipun masih banyak kekurangan pada montaj tersebut yang seharusnya boleh saya perbaiki. Antara faktor kekurangan dan kelemahan yang saya kenal pasti adalah berpunca dari tiadanya perancangan awal ketika menghasilkan montaj itu. Saya tidak membuat story board ataupun lakaran awal, semua yang saya hasilkan hanya dari apa yang terlintas sahaja kerana faktor kesuntukan masa dan juga faktor perubahan maklumat di saat-saat akhir. Sepatutnya dari awal saya perlu menyediakan plan B sekiranya plan A gagal. Saya yakin sekiranya saya mempraktikkan penggunaan method yang bersesuaian ketika penghasilan montaj ini, tidaklah saya menghadapi masalah seperti itu, selain mendapat hasil yang lebih baik pada akhirnya.

Dari pengalaman saya menghasilkan montaj, dapat saya gariskan beberapa perkara yang boleh saya kaitkan dengan pengurusan projek multimedia. Pertamanya ialah perlunya menyampaikan maklumat yang tepat dan difahami kepada orang bawahan. Sebagai contoh ketika saya menerima montaj yang berlainan dari setiap LC ini mungkin berpunca dari kegagalan mereka memahami apa yang saya mahu pada setiap montaj. Kedua ialah perlu perancangan awal dan penggunaan method tertentu ketika membangunkan projek multimedia (kes saya ialah montaj). Saya gagal mempraktikkan apa-apa method yang bersesuaian ketika menghasilkan montaj. Sekalipun hasilnya masih boleh diterima tetapi ianya gagal mencapai tahap industri.

Wednesday, January 30, 2013

DSLR atau MIRRORLESS?

Sejak akhir-akhir ni saya banyak membuat bacaan mengenai kamera digital. Segala macam sumber website, blog, forum, fb group diterokai untuk mendapatkan maklumat dan mempelajari serba sedikit mengenai kamera. Kalau diikutkan dahulu saya memang tak ambil tahu sangat pun mengenai kamera, dalam kepala cuma fikir kamera yang best adalah Nikon dan kalau nak beli DSLR mesti beli Nikon.

Apabila dah rajin buat kajian macam ni baru faham sebenarnya bukan semudah itu nak melabel mana-mana yang terbaik kerana setiap brand ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, apa yang paling penting ialah skill jurugambar itu sendiri kerana kamera hanyalah alat.

Secara umumnya kamera digital terbahagi kepada 3 kelas utama iaitu kamera kompak, kamera mirrorless dan juga kamera DSLR.

Mungkin ramai yang masih belum tahu apa itu kamera mirrorless. Kamera mirrorles adalah kamera yang tidak menggunakan cermin untuk memantulkan cahaya tetapi cahaya akan sampai kepada sensor secara terus melalui lensa. Ini membuatkan kamera mirrorless lebih kompak berbanding DSLR.

Selain itu kamera mirrorless juga mengurangkan tombol-tombol kawalan fizikal seperti yang terdapat pada kamera DSLR menjadikannya lebih kecil dan ringan. Apa yang membezakan kamera ini berbanding kamera digital kompak ialah kebolehan untuk menukar lensa.

Jika disebut mengenai DSLR, semua orang tahu ia dipelopori oleh dua syarikat gergasi iaitu Nikon dan Canon, tetapi berbeza pula dengan pasaran untuk kamera mirrorless kerana ia dikuasai oleh Sony, Olympus dan juga Panasonic.

Olympus dan Panasonic menghasilkan kamera mirrorless dalam segmen Micro Four Third manakala Sony mengeluarkan kamera dengan saiz sensor dalam kelas APS-C iaitu sama dengan saiz pada kamera DSLR kelas entry/mid level. Maka tidak hairanlah Sony memberi jaminan output imej dari kameranya adalah pada tahap kualiti DSLR kerana menggunakan sensor yang sama.

Monday, January 28, 2013

PERTAMA

Assalamualaikum..

Alhamdulillah ini post pertama untuk blog ini. Tujuan utama penghasilan blog ni adalah untuk mengasah skill menulis selain berkongsi apa yang patut. Sejak akhir-akhir ni agak kurang menulis rasanya tak bagus macam tu sedang diri ini tak bagus pun dalam penulisan, jadi rasanya perlu perbaiki.

Kata orang saya ini tak banyak bercakap memang betul, tapi hati tak pernah diam jadi ada baiknya diluahkan melalui medium ini. Insya Allah, blog ini mungkin akan dikemaskini dengan tulisan dan kandungan yang bebas, tiada genre khusus ditetapkan. Akan dicoret apa sahaja yang membawa kebaikan untuk diri sendiri dan juga kepada sesiapa yang sudi membaca.