Apabila dah rajin buat kajian macam ni baru faham sebenarnya bukan semudah itu nak melabel mana-mana yang terbaik kerana setiap brand ada kelebihan dan kekurangan masing-masing, apa yang paling penting ialah skill jurugambar itu sendiri kerana kamera hanyalah alat.
Secara umumnya kamera digital terbahagi kepada 3 kelas utama iaitu kamera kompak, kamera mirrorless dan juga kamera DSLR.
Mungkin ramai yang masih belum tahu apa itu kamera mirrorless. Kamera mirrorles adalah kamera yang tidak menggunakan cermin untuk memantulkan cahaya tetapi cahaya akan sampai kepada sensor secara terus melalui lensa. Ini membuatkan kamera mirrorless lebih kompak berbanding DSLR.
Selain itu kamera mirrorless juga mengurangkan tombol-tombol kawalan fizikal seperti yang terdapat pada kamera DSLR menjadikannya lebih kecil dan ringan. Apa yang membezakan kamera ini berbanding kamera digital kompak ialah kebolehan untuk menukar lensa.
Jika disebut mengenai DSLR, semua orang tahu ia dipelopori oleh dua syarikat gergasi iaitu Nikon dan Canon, tetapi berbeza pula dengan pasaran untuk kamera mirrorless kerana ia dikuasai oleh Sony, Olympus dan juga Panasonic.
Olympus dan Panasonic menghasilkan kamera mirrorless dalam segmen Micro Four Third manakala Sony mengeluarkan kamera dengan saiz sensor dalam kelas APS-C iaitu sama dengan saiz pada kamera DSLR kelas entry/mid level. Maka tidak hairanlah Sony memberi jaminan output imej dari kameranya adalah pada tahap kualiti DSLR kerana menggunakan sensor yang sama.